Haniza Talha meninjau kemudahan panel solar untuk unit rumah contoh selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku & Smart Sewa Pangsapuri Seri Utama, Puchong pada 1 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Rumah SelangorKu pertama dilengkapi panel solar

PUCHONG, 1 DIS: Pangsapuri Seri Utama, Taman Puchong Utama di sini, dipilih sebagai pembangunan Rumah SelangorKu pertama di negara ini dilengkapi dengan panel solar selepas mencapai Pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, projek perumahan mampu milik dibangunkan Hillcrest Gardens Sdn Bhd itu sebagai insentif kepada pemaju dalam menggalakkan penggunaan tenaga solar bercirikan lestari dan mesra alam.

“Panel solar di setiap blok bangunan ini berorientasikan arah utara-selatan untuk meminimumkan haba daripada matahari timur ke barat.

“Selain itu, ia mempunyai aliran pengudaraan dalaman semulajadi yang baik dan boleh mengurangkan penggunaan penghawa dingin malah, fasad luar dan dalam bangunan juga kelihatan lebih kemas serta tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu dan Surat Tawaran Kepada Penyewa Skim Smart Sewa di pangsapuri berkenaan di sini, hari ini.

Haniza Talha menbuat lawatan ke unit rumah contoh selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku & Smart Sewa Pangsapuri Seri Utama, Puchong pada 1 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham; Pengarah Eksekutif Tetuan Hillcrest Sdn Bhd, Frank Goon dan Pemangku Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Khairul Azam Saroni.

Terdahulu, 1,162 unit Rumah SelangorKu berjaya disiapkan pemaju dalam tempoh hampir lima tahun sejak pembinaan itu dimulakan pada 2015.

Difahamkan, projek terbabit siap sepenuhnya pada Ogos lalu, iaitu 10 bulan lebih awal dari tarikh akhir ditetapkan dalam perjanjian jual beli pertama pada Mei 2020.

Pada masa sama, Haniza berkata, pembangunan di kawasan itu menawarkan tiga pilihan jenis Rumah SelangorKu dengan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Jenis B berkeluasan 69.7 meter persegi dengan harga jualan RM100,000 seunit berjumlah 464 unit, C2 (83.6 meter persegi) RM195,000 seunit (464 unit) dan D (92.9 meter persegi) RM220,000 seunit (234 unit).

“Pemaju juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan penduduk antaranya tempat letak kereta bertingkat, taman permainan kanak-kanak, dewan serbaguna, gelanggang tenis dan bola keranjang, surau serta kolam renang,” katanya.


Pengarang :