Ng Sze Hanmengadakan lawatan tapak dan pemantauan projek ‘Breath New Life’ To Bagan Hailam di Pelabuhan Klang pada 8 Disember 2019.
EXCOSELANGOR

Taman permainan tidak diroboh kerana projek LRT3

PELABUHAN KLANG, 8 DIS: Desas-desus mengatakan taman permainan di sekitar kejiranan Seksyen 7, Shah Alam bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan jajaran projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) adalah tidak benar.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, taman permainan itu hanya akan ditutup buat sementara sehingga pelaksanaan LRT3 siap dalam tempoh lima tahun.

Katanya, penduduk di kawasan terbabit tidak perlu gusar memandangkan taman permainan itu akan dibuka semula kepada umum melalui beberapa penaiktarafan dan penambahbaikan.

“Banyak perbincangan termasuk sesi pendengaran awam diadakan oleh pengendali perkhidmatan pengangkutan awam (Prasarana Malaysia Berhad) bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan beberapa cadangan dikemukakan semasa pertemuan itu.

“Saya difahamkan (taman permainan) akan hilang, tetapi sebenarnya ia ditutup sementara semasa pembinaan jajaran LRT3. Selepas projek itu siap dibina, taman permainan berkenaan ditambah dengan beberapa fasiliti dan penduduk dapat menikmati satu taman permainan yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan tapak dan pemantauan projek ‘Breath New Life’ To Bagan Hailam, hari ini.

Minggu lalu, sekumpulan penduduk di sekitar kejiranan berkenaan melakukan bantahan terhadap pembinaan jajaran LRT3 kerana mendakwa projek itu akan melalui padang permainan di kawasan perumahan selain membahayakan penduduk khususnya kanak-kanak.

Malah, ada yang mendesak pihak pemaju supaya mengubah jajaran LRT3 itu memandangkan terdapat dua laluan alternatif yang dicadangkan sebelum ini namun ia tidak dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Negeri Kinrara itu berkata, MBSA turut mengenakan syarat terhadap pengendali perkhidmatan pengangkutan awam itu dalam menjalankan proses menaik taraf taman permainan berkenaan.

“Fasiliti yang akan ditambah baik di taman permainan ini juga menekankan aspek keselamatan yang mampu menjamin keselesaan penduduk,” katanya.

Projek LRT3 sepanjang 37 kilometer yang dirancang melalui beberapa kawasan dalam bandar raya Shah Alam akan bermula dari Bandar Utama hingga ke Johan Setia, Klang.

Laluan yang hanya mengambil masa 58 minit waktu perjalanan itu akan dilengkapi 26 stesen dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 2 juta rakyat di koridor barat Lembah Klang.


Pengarang :