BUDAYARENCANA

Ahmad dan takdirnya

Oleh Aliaa Alina

Ahmad terjaga daripada lena. Dia masih lagi berada di dalam bas kuning itu.  Dari tingkap bas, dia melihat bas itu sedang melalui sebuah padang yang tandus.

Dia memandang ke kerusi hadapan.

Kosong.

Lantas dia segera menoleh ke tepi. Manusia dis ebelahnya bukan lagi ibu, sebaliknya diganti oleh seorang lelaki yang tua.

“Mana mak dan ayah?”

Lelaki tua itu berpaling ke bahagian kiri bas, di mana ibu dan bapa Ahmad sedang duduk bersama-sama orang kampung yang lain.

“Mengapa mereka ada di sana. Siapa kamu?”

Lelaki tua itu sekadar tersenyum, tidak menjawab persoalan Ahmad yang baru berusia 12 tahun.

“Mak! Ayah!”

Jerit Ahmad kepada mereka. Ibu dan ayah tidak menoleh kepadanya, seolah mereka tidak mendengar atau enggan mempedulikannya. Muka mereka suram, seperti dalam keadaan bersedih. Semua manusia itu berwajah muram, terutamanya Penghulu kampung yang duduk di kerusi hadapan bas.

“Ahmad.”

Panggil lelaki tua, dengan suara yang lembut. Agak tidak padan jika dibandingkan dengan wajahnya yang agak garang dan keras.

“Usahlah kamu memanggil-memanggil ibu dan bapa kamu. Kerana ketika ini, mereka dalam perhitungan dan hanya peduli dengan nasib diri sendiri sahaja.”

Tiba-tiba, bas berhenti di pertengahan jalan. Penghulu melangkah perlahan menuruni bas itu.

Dari kaca tingkap, Ahmad melihat Penghulu mengangkat seikat kayu lalu diletakkan di belakang bahunya. Muka Penghulu berkerut menahan sakit, namun dia tetap menambah beban kayu di belakangnya sehingga dia jatuh tersungkur ke tanah.

Penghulu bingkas bangun, dengan peluh membasahi tubuh kerana membawa berat yang tidak padan dengan tenaga tuanya.  Walaupun kepenatan, tangannya masih ligat menambah bilangan kayu di belakang tubuh untuk dipikul.

Bas itu meluncur pergi meninggalkan Penghulu yang bersungguh-sungguh menanggung berat kayu di bahu, meskipun dia tidak lagi terdaya.

Ahmad masih tidak memahami, adakah ini mimpi pelik, seperti yang selalu dialaminya jika dia tidur pada waktu Maghrib. Kerana kata ibu, dia tidur dengan syaitan bergayutan di kelopak matanya ketika itu.

“Siapa kamu?” soal Ahmad sekali lagi kepada lelaki tua itu.

“Saya adalah Takdir kamu, Ahmad.”

Ahmad jeda.

“Takdir adalah seorang lelaki yang tua?”

Takdirnya mengangguk, sambil tersenyum.

“Di sini, saya kelihatan tua kerana saya sekadar menjadi peneman kamu sehingga ke akhir perjalanan ini.”

“Mengapa saya berada di sini, Tuan Takdir?”

“Kamu berada di alam kematian, Ahmad. Dan di penghujungnya, adalah syurga untuk kamu.”

Ahmad menoleh ke arah ibu bapanya. Muka mereka masih sugul dengan kepala menunduk ke bawah.

“Adakah mak dan ayah akan masuk ke syurga sekali?”

Takdir menjadi hiba, lantas dia menggeleng.

Sinar di luar bas semakin terik. Tanahnya kering dan merekah, dan adanya lubang-lubang kecil yang mengeluarkan asap di permukaannya.

“Jadi mereka akan ke neraka?”

“Biarlah nasib mereka ditentukan oleh pemilik mereka.”

“Tapi saya mahu mereka ke syurga bersama saya.”

Ujarnya dengan suara yang bergetar. Matanya berair, lantas segera dikesat dengan hujung baju.

“Jika kamu mahu begitu, kamu boleh hidup semula, lalu berdoalah atau bersedekah atas nama mereka berdua. Namun sanggupkah kamu menolak peluang kehidupan abadi yang paling bahagia?”

Sekali lagi, bas itu berhenti. Pintu bas terbuka, dan cahaya terik yang memijarkan kulit menyuluh masuk ke dalam bas. Semua manusia di dalam bas berserta ibu bapanya bangun lantas meninggalkan Ahmad dan Takdirnya.

Ahmad memanggil nama mereka, namun tiada suara keluar, dan kakinya cuba untuk bangun, tetapi gagal. Seluruh anggota badannya enggan menurut, seperti mereka ada pemikiran atau kemahuan sendiri.

Bas bergerak, dan meninggalkan sekumpulan manusia yang kegelisahan di tengah jalan yang berdebu.

“Saya nak mak ayah!” bentak Ahmad kepada Takdirnya.

“Maka kamu perlu memilih syurga atau ibu bapa kamu.”

Ahmad menekup muka lantas menangis teresak-esak. Dia mengharapkan Takdir akan melakukan sesuatu untuk membantunya, tetapi hampa kerana Takdir hanyalah seorang lelaki tua yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Kecewa, Ahmad mengangkat kepalanya sedikit lalu merenung ke luar. Padang itu kering kontang, luasnya tiada terduga dan terlalu panas sehinggakan tiada sehelai rumput pun tumbuh di tanahnya.

Setelah beberapa ketika, bas semakin jauh meninggalkan padang yang gersang, dan mula memasuki kawasan hutan yang kehijauan, dengan unggas-unggas yang berterbangan di udara.

Perlahan-lahan bas berhenti, pintunya dibuka lembut dan enjinnya dimatikan menandakan ia sudah tiba di akhir destinasi.

Ahmad menjenguk ke luar bas dan kagum melihat kecantikan alam yang tidak terperi.

“Benarkah di dalam syurga, akan ada air sungai susu, dan madu mengalir di dalamnya?”

“Kamu masih berpeluang untuk melihatnya sendiri, Ahmad.”

Takdir bangun dan menghulurkan tangannya kepada Ahmad. Dia mahu menyambut namun segera dibatalkan niat kerana dia masih lagi berbelah bagi antara syurga dan ibu bapanya.

“Tuan Takdir.”

“Ya.”

“Mak dan ayah akan masuk syurga nanti?”

“Apabila selesai perhitungan mereka.”

“Bila?”

“Seperti saya, hanya di dunia sahaja Masa mempunyai kuasa.”

Angin-angin nyaman mulai masuk, memenuhi segenap ruang di dalam bas dan membisikkan kata-kata tentang keindahan syurga.

Ahmad bingung memikirkan keputusan yang perlu dilakukan ketika ini. Mungkin juga syurga adalah penamat yang memang sudah ditakdirkan untuknya dalam kehidupan ini. Tapi bagaimana jika malaikat menghalangnya masuk di pintu itu kelak kerana tindakan ini bermaksud dia berpaling daripada ibu bapanya?

Ahmad masih kaku di situ dan termenung memandang Takdirnya yang masih sabar menunggu.


Pengarang :