Selangorkini
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mesran Mohd Yusop memberi penerangan kepada para wartawan ketika sidang media mengenai penemuan artifak prasejarah di Gunung Pulai, Baling pada 21 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Artifak 17,000 tahun ditemui di Gua Gunung Pulai, Baling

BALING, 21 JAN: Jabatan Warisan Negara (JWN) telah menemui lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik dianggarkan berusia 17,000 tahun di beberapa buah gua di Gunung Pulai, di sini.

Artifak dalam bentuk peralatan batu, pecahan tembikar dan kulit siput sungai ditemui di tapak-tapak baharu ekskavasi antaranya di Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar di gunung tersebut.

Pesuruhjaya Warisan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop berkata artifak itu ditemui ketika jabatannya sedang menjalankan eksplorasi di kawasan berkenaan antara April hingga Oktober tahun lalu.

“Eksplorasi ini bertujuan melaksanakan pendokumentasian dan inventori tapak bagi memperoleh data arkeologi terkini dan mengetahui sebarang kemungkinan jumpaan bukti yang masih belum diterokai oleh penyelidik terdahulu.

“Penemuan artifak ini membuktikan adanya kehidupan prasejarah di kawasan ini dan ia memberikan kita petunjuk baharu mengenai kehidupan mereka suatu ketika dahulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebahagian penemuan artifak prasejarah telah ditemui oleh Jabatan Warisan Negara iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di beberapa tapak baharu di dalam dan luar gua yang terdapat di Gunung Pulai, Baling. Foto BERNAMA

Mesran berkata, eksvasi dan penyelidikan di tapak tersebut turut disertai Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata, sebahagian daripada artifak yang ditemui telah dihantar ke Singapura untuk dianalisa dan ditentukan secara tepat usianya.

Menurutnya, jika artifak itu benar-benar berusia 17,000 tahun ia bermakna penempatan di Gunung Pulai itu adalah antara yang tertua di negeri ini dan lebih tua berbanding di Tapak Arkeologi Sungai Batu, Merbok.

Beliau turut menjelaskan bahawa penemuan itu mejadikan Gunung Pulai sebagai tapak arkeologi bernilai tinggi terhadap data arkeologi negara dan sebagai asas dalam mengenali asal-usul masyarakat lampau.

“Ia juga berupaya mempopularkan kawasan ini dan menjadikan Gunung Pulai dan gua-gua di sini sebagai tumpuan pelancong dan penyelidik serta pakar-pakar arkeologi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Ruzairy Arbi berkata, penemuan peralatan batu itu menggambarkan bahawa masyarakat Paleolitik di sini menggunakan batu secara intensif untuk tujuan pemburuan dan penyimpanan makanan.

Manakala, penemuan kulit siput sedut sungai pula disifatkan yang paling penting kerana ia menjadi bukti mengenai amalan pemakanan dan diet masyarakat prasejarah di situ.

“Semua artifak ini ditemui di permukaan tanah kawasan gua-gua tersebut dan kita percaya lebih banyak artifak yang tertanam dan kita akan membuat pemetaan dan galian dalam tempoh sebulan lagi untuk mencari artifak lain,” katanya.

Dalam pada itu, JWN turut memohon kepada orang ramai agar mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 dengan melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah di kawasan Gunung Pulai kepada pegawai daerah atau pesuruhjaya warisan.

– BERNAMA


Pengarang :