Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan Jalur Gemilang kepada ‘All Women’s Expedition To Antartica (AWETA) yang diketuai oleh Mentornya, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (dua, kanan) yang akan menjayakan misi negara ke Kutub Selatan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Bangunan Perdana Putra pada 3 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aweta: Kumpulan ekspedisi dijangka pulang ke tanah air 9 Januari

SHAH ALAM, 4 JAN: Ekspedisi Eksklusif Wanita ke Antartika ‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta) dijangka tiba di tanah air 9 Januari ini, selepas menamatkan ekspedisi ke Kutub Selatan itu Selasa lepas.

Ketua ekspedisi itu, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir ketika dihubungi berkata, kumpulan itu kini berada Puntas Arenas, Chile selepas berjaya menamatkan misi itu kira-kira jam 3.53 pagi waktu Malaysia.

“Alhamdulillah selepas tujuh hari pengembaraan dan bersusah payah merentas last degree, pasukan Aweta telah selamat sampai ke paksi bumi South Pole pada 31 Disember lepas.

“Dengan kejayaan itu, tiga peserta wanita ekspedisi ini secara rasmi digelar ‘Ratu Ais’ kerana kejayaan mereka berjalan dalam keadaan cuaca sejuk yang ekstrim untuk sampai di lokasi terakhir iaitu di Amundsen–Scott South Pole Station (Amerika Syarikat) ini,” katanya.

Sebelum ini, peserta ekspedisi itu mula memasuki kawasan Antartika pada 25 Disember lepas dengan merentasi 2.0 kilometer (perjalanan di Antartika) dengan suhu -29 darjah Celsius.

Tiga peserta wanita yang terlibat dalam ekspedisi itu anggota Tentera Darat Malaysia Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri Salehah Abu Nor, 33, dan ahli farmasi Nurul Atiqah Tamarun, 31 tahun.

“Sepanjang perjalanan peserta berhadapan masalah kesihatan termasuk keletihan dan Saleha turut mengalami mabuk altitud.

“… dan kami juga menghadapi masalah ketipan ibun (frost bite) di bahagian muka disebabkan suhu yang sangat sejuk ini dan setakat ini keadaan masing-masing semakin pulih,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu kini sedang berehat di Puntas Arenas dan dijadualkan ke Santiago esok, untuk melawat kedutaan Malaysia di sana sebelum pulang ke Malaysia.

Kumpulan ekspedisi itu sebelum ini bertanggungjawab untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004 di Kutub Selatan tersebut bagaimanapun, ia tidak dapat diteruskan susulan kesukaran mencari kapsul berkenaan.

Sharifah Mazlina berkata bagaimanapun program itu diteruskan bagi memenuhi matlamat untuk melahirkan ikon golongan wanita muda yang sanggup menghadapi cabaran sekali gus dapat memberi inspirasi kepada wanita lain.

“Masih ramai yang bertanya mengenai kapsul itu jadi saya jelaskan di sini pencariannya tidak dapat diteruskan kerana kawasan penanaman kapsul telah memasuki kawasan pangkalan Amerika Syarikat selain ia telah bertimbun dengan ais terlalu dalam iaitu mungkin (ais) paras bangunan setinggi 14 tingkat kerana ia ditanam 14 tahun lalu.

“Sebab lain juga kerana bacaan GPS (Global Positioning System) untuk mengesan kapsul itu tidak lagi tepat, kerana ada pergerakan ais di lokasi yang ditanam…sebab itu tujuan lain ekspedisi ini juga untuk mengetengahkan ‘Ratu Ais’ yang memberi cabaran kepada tiga peserta wanita ini berjalan dalam keadaan suhu sejuk dan berais,” katanya.

Tiga peserta wanita itu sebelum ini berjaya dipilih sebagai ‘Ratu Ais’ yang membawa cabaran sebagai inspirasi baharu generasi muda ke Kutub Selatan bermula 18 Disember lepas hingga semalam.

Ketiga-tiga peserta itu dipilih selepas mereka berjaya mengharungi pelbagai ujian mental dan fizikal yang ditetapkan sekali gus mengetepikan 1,000 peserta lain sejak penyertaannya dibuka pada 2017.

Sharifah Mazlina juga berkata pihaknya akan mengadakan sidang media berhubung pencapaian kumpulan ekspedisi itu apabila tiba di tanah air nanti.

-BERNAMA


Pengarang :