AGENDASUKANKINI

FAM jangan terburu-buru lulus permohonan pemain import

SHAH ALAM, 6 JAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu membuat pertimbangan wajar sebelum meluluskan permohonan pemain import untuk mewakili skuad kebangsaan.

Pensyarah kanan sains kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) berkata beberapa pemain import Liga Malaysia seakan ‘menawarkan diri’ untuk mewakili Harimau Malaya pada masa akan datang, lapor Berita Harian.

“Jangan anggap kerakyatan negara kita murah hanya kerana hendak menang bola sepak,” kata Dr Zulakbal Abd Karim.

Beliau tidak mahu berburuk sangka terhadap hasrat pemain import bersama skuad kebangsaan, namun menganggap mereka sebagai oportunis ketika Malaysia membuka pintu kepada pemain naturalisasi (hak kerakyatan).

“Mereka (pemain import) nampak peluang kerana sudah lama di sini. Daripada tidak dapat apa-apa, mungkin mereka berasakan lebih baik cuba untuk mewakili Malaysia selepas lihat kita terdesak untuk memenangi perlawanan,” katanya.

Ketika ini, hanya seorang pemain naturalisasi bersama skuad kebangsaan iaitu Mohamadou Sumareh dengan dua lagi pemain iaitu Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula masih menunggu kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).


Pengarang :