Gambar dari udara yang diambil dan dikeluarkan pada 1 Januari 2020 oleh Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia menunjukkan rumah dan bangunan ditenggelami air berikutan hujan lebat di Jakarta. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Korban banjir di Jakarta meningkat 30 orang

JAKARTA, 3 JAN: Angka korban akibat banjir yang melanda Jakarta sejak 1 Januari lalu, meningkat kepada 30 orang setakat ini.

Walaupun keadaan banjir semakin pulih hari ini, namun lebih 60,000 orang dilaporkan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), jumlah mangsa banjir berkenaan adalah berdasarkan perangkaan setakat 9 malam tadi dan mereka yang terkorban adalah akibat lemas dihanyut arus deras, tertimbus tanah runtuh, terkena renjatan elektrik dan mengalami hipotermia.

Selain beberapa kawasan di ibu kota Jakarta, beberapa kawasan di kota berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor turut mengalami banjir berikutan hujan lebat pada awal pagi Rabu lepas.

“BNPB meminta penduduk yang rumah mereka masih dinaiki air berpindah ke tempat selamat berikutan hujan lebat diramalkan terus berlaku dan dibimbangi air akan naik mendadak,” kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Agus Wibowo dalam satu kenyataan.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam kenyataan menyatakan antara punca banjir adalah disebabkan hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi sebelum ini adalah pada 2007 dengan bacaan 340 mm.

BMKG turut menyatakan hujan lebat diramalkan berlaku sehingga 10 Jan ini.

-BERNAMA


Pengarang :