Salah menjaringkan gol kedua Liverpool ketika menentang Manchester United di Anfield awal pagi tadi. Foto Twitter Liverpool FC
AGENDASUKANKINI

Liverpool gah benam Manchester United di Anfield

SHAH ALAM, 20 JAN: Liverpool terus sukar digugat di puncak Liga Perdana Inggeris apabila menang selesa 2-0 ke atas Manchester United di Anfield awal pagi tadi.

Berdasarkan siaran langsung yang dipancarkan di stesen televisyen tempatan, Virgil Van Dijk memastikan The Reds di hadapan pada minit ke-14 apabila menanduk masuk sepakan penjuru Trent-Alexander Arnold walaupun cuba dihalang pertahanan termahal dunia, Harry Maguire.

Tuan rumah sepatutnya mendahului babak pertama sekurang-kurangnya berkelebihan tiga gol, namun jaringan Roberto Firmino dan Gini Wijnaldum dibatalkan kerana kekasaran serta berada dalam kedudukan ‘offside’.

Bersambung babak kedua, kapten Liverpool Jordan Henderson hampir menggandakan jaringan pada minit ke-48 tetapi percubaan kaki kirinya sekadar singgah di tiang gol dikawal David De Gea.

Manchester United cuba menggugat pertahanan Liverpool dengan membawa masuk Juan Mata tetapi beberapa peluang terbaik gagal diterjemah barisan hadapan pasukan.

Sebaliknya, skuad bimbingan Jurgen Klopp menambah jaringan kedua pada minit akhir masa tambahan menerusi Mohamed Salah yang membuat larian pantas hasil umpanan penjaga gol Alisson Becker sebelum tenang menewaskan De Gea.

Liverpool kini mengutip 64 mata selepas 22 perlawanan meninggalkan pesaing di tangga kedua, Manchester City dengan perbezaan 16 mata.

 


Pengarang :