AGENDANASIONAL

Lulusan perubatan luar negara perlu sahkan ijazah elak kes sijil palsu

SHAH ALAM, 23 JAN: Semua pengamal perubatan lulusan dari luar negara yang ingin berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) perlu mengesahkan ijazah dan transkrip mereka berkuat kuasa 1 Jun 2020 bagi mengelakkan kes pemalsuan sijil.

Presidennya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua agensi dilantik bagi proses pengesahan sumber utama (Primary Source Verification) iaitu DataFlow Group dan Educational Commission of Foreign Medical Graduates (ECFMG).

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pengamal perubatan lulusan dari luar negara sama ada warganegara atau bukan warganegara yang ingin berdaftar dengan MPM untuk melalui proses verifikasi tersebut dalam tempoh lebih awal supaya proses permohonan pendaftaran tidak tergendala,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semua kos pembayaran ditanggung pengamal perubatan sendiri manakala lulusan dari institusi dalam negara tidak perlu melalui proses ini.

Beberapa tahun lepas terdapat laporan berhubung kegiatan individu, menyamar sebagai doktor malahan ada yang menawarkan perkhidmatan pada harga murah.

Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 28 kes direkodkan pada 2018 membabitkan pemegang perakuan atau pemegang lesen yang dikenakan tindakan kerana menggaji doktor yang tidak berdaftar dengan 14 kes sudah selesai.


Pengarang :