Sebahagian pelancong menggunakan pelitup muka bagi mencegah jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 pada 27 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia gantung sementara kemudahan imigresen rakyat Wuhan, Hubei

SHAH ALAM, 27 JAN: Kerajaan Malaysia menggantung sementara semua kemudahan imigresen dan visa manual kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di China dan ia berkuat kuasa serta merta.

“Kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan, e-visa dan visa manual akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal.

“Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama kerajaan China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata sejak timbulnya kes jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di China minggu lalu, Malaysia mengikut prosedur ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Katanya, kerajaan juga mendapat nasihat pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini daripada merebak dengan meluas.

“Pemantauan dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sah atau palsu berkenaan jangkitan itu yang boleh mencetuskan panik kepada masyarakat.


Pengarang :