EXCOSELANGOR

Pengusaha ‘bubble tea’ disaran sedia bekas air guna semula

KAJANG, 12 JAN: Pengusaha ‘bubble tea’ dinasihatkan menyediakan bekas air guna semula buat pelanggan bagi mengurangkan masalah sampah plastik yang semakin berlambak di negeri ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata langkah berkenaan sama seperti dipraktikkan di kafe Starbucks iaitu pelanggan membawa bekas air guna semula apabila berkunjung ke rangkaian kafe itu.

“Pelanggan Starbucks yang membawa bekas air guna semula berlogo kafe itu diberi diskaun antara RM1 atau RM2. Inisiatif ini sudah tentu menarik pelanggan bawa sendiri bekas air guna semula,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada penyampaian baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina 2020 Dewan Undangan Negeri Kajang di Pasaraya Tesco Extra di sini hari ini.

Katanya amalan membawa bekas guna semula bukan sahaja mengurangkan masalah sampah plastik tetapi pengusaha `bubble tea’ juga dapat menambah keuntungan apabila pelanggan tertarik untuk berkunjung ke kedai mereka kerana diberi diskaun.

Pada program berkenaan, Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang menyerahkan 450 baucar kepada penerima yang terpilih bagi DUN tersebut.

Loy Sian berkata, pada masa sama, Kerajaan Negeri sedang mengumpulkan data pengusaha ‘bubble tea’ bagi sesi dialog yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, minuman `bubble tea’ adalah satu trend dan bilangan pengusahanya semakin meningkat di Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kajang.

“Pada dialog itu kita minta mereka fikir cara-cara boleh membantu kerajaan mengurangkan penggunaan plastik selain menjana keuntungan kepada mereka,” katanya.


Pengarang :