SELANGOR

Petaling Perdana catat 185 kes influenza

SHAH ALAM, 17 JAN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor merekodkan 717 kes influenza A dan H1N1 di 10 daerah membabitkan 248 buah sekolah sehingga 9 pagi hari ini.

Daerah Petaling Perdana merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 185 diikuti Klang (143 kes) dan Petaling Utama 102 kes.

“Semua kes yang dilaporkan sudah menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil. Mereka diberi cuti dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah dalam tempoh tiga hingga tujuh hari,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Petaling Utama melibatkan kawasan di sekitar Petaling Jaya sementara Petaling Perdana meliputi sekitar Shah Alam.

Jumlah itu meningkat berbanding 548 kes membabitkan 194 sekolah yang direkodkan semalam.

JPN Selangor turut memaklumkan pejabat kesihatan daerah menjalankan langkah pencegahan di 15 sekolah di negeri ini yang dikategori ILI (Influenza like illness) dan proses itu diteruskan di 10 sekolah lagi.


Pengarang :