Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (tengah) dan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin (kiri) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Seksyen 9 pada 14 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sampel air kencing 16 individu ditahan disaring kali kedua

SHAH ALAM, 14 JAN: Sampel air kencing milik 16 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, dekat sini telah dihantar untuk ujian saringan kedua, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau berkata polis sedang menunggu keputusan ujian saringan kedua berkenaan sebelum memutuskan tindakan lanjut yang bakal diambil.

“Dalam semua kes membabitkan dadah, kita akan buat saringan awal dan jika positif, kita tidak boleh cakap dia penagih (dadah).

“Jadi, kita kena hantar spesimen ke hospital dan mereka yang akan tentukan keputusan hasil daripada ujian terbabit,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes didakwa melibatkan seorang Ahli Dewan Negeri Selangor dan empat pegawai khas ahli politik, antara 17 individu ditahan polis dalam operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong, dekat sini pada Ahad.

Ujian saringan air kencing pertama mendapati 16 daripada individu berkenaan positif dadah.

– BERNAMA


Pengarang :