Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Satu lagi kes koronavirus dikesan di Johor Bahru

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Satu lagi kes pesakit disahkan dijangkiti 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) malam tadi, menjadikan jumlah individu positif 2019-nCoV kepada empat setakat ini, kata ketua pengarah kesihatan Malaysia.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata kes disahkan petang semalam itu, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga kes positif yang dilaporkan sebelum ini.

“Kes terbaru ini merupakan lelaki berumur 40 tahun berasal dari Wuhan, China. Kes (pesakit) itu tiba di Johor Bahru pada Rabu (22 Jan) dengan menaiki bas dari Singapura. Kes datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya; yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya.

“Kes (lelaki) mula mengalami gejala demam pada Khamis (23 Jan) dan keesokan harinya beliau pergi mendapatkan rawatan di hospital swasta berhampiran. Beliau seterusnya dirujuk hospital swasta tersebut untuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan pada petang semalam (25 Jan) pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan menerima pelaporan sampel pesakit terbabit didapati positif 2019-nCoV.

Jelasnya ketika ini kes (lelaki) masih demam dan batuk, namun beliau berada dalam keadaan stabil.

Katanya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera mengesan kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancong sama yang disertai oleh kes, dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

“Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya diambil dalam kalangan kontak tersebut, untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

“Kesemua kontak tersebut seterusnya diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan, sementara menunggu keputusan ujian dijalankan ke atas mereka,” kata Dr Noor Hisham.

-BERNAMA


Pengarang :