Khalid turun padang meninjau kerja naik taraf Bulatan Bestari Seksyen 2, Shah Alam pada 24 Januari 2020. Foto FB Khalid Samad
AGENDANASIONAL

Proses pindah air punca Bulatan Bestari lambat siap

SHAH ALAM, 25 JAN: Proses pemindahan air dikenal pasti antara punca kerja menaik taraf Bulatan Bestari Seksyen 2 di sini gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kata ahli parlimen Shah Alam.

Khalid Abd Samad berkata kelewatan projek berkaitan menyebabkan berlaku kesesakan teruk terhadap pengguna jalan raya.

“(Saya) turun padang ke Bulatan Bestari Seksyen 2 untuk meninjau dan mendapat penjelasan kelewatan kerja naik taraf jalan itu dan dimaklumkan pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam disebabkan pemindahan paip air dari bulatan tersebut,” katanya dalam status dimuat naik di laman Facebook semalam.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan menjangkakan kerja tersebut akan siap sepenuhnya pada hujung Februari ini dan lencongan baharu sedang dilaksana tanpa melibatkan kesesakan seperti sebelumnya.

Terdahulu, SelangorKini melaporkan sebahagian laluan bulatan berkenaan ditutup sementara bagi memberi laluan kerja penyelenggaraan yang sepatutnya siap pada 4 Januari lalu.


Pengarang :