Logo Sukma XX Johor 2020
SELANGORSUKANKINI

Sukma 2020: Selangor sasar 45 pingat emas, 830 atlet bawa cabaran

SHAH ALAM, 29 JAN: Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai hadapan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata sasaran itu mampu direalisasikan walaupun saingan hebat bakal ditempuhi dalam edisi ke-20.

“Kita optimis untuk meraih sasaran itu walaupun cabaran sengit bakal dihadapi terutama tuan rumah, Johor. Kita lihat saingan utama turut bakal ditampilkan Terengganu.

“Acara yang kita jangka bakal menjadi penyumbang utama pingat adalah renang, gimnastik, olahraga dan boling padang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata kontinjen Selangor memulakan persiapan sejak 2018 dengan memberikan tumpuan acara yang mampu menyumbang pingat di samping mendaftar 830 atlet bertanding.

“Bermula Januari adalah fasa terakhir persediaan pasukan setiap pasukan dinilai bagi mencari atlet yang layak.

“MSN sedang giat menjalankan program persediaan atlet seperti kecergasan, kejohanan pendedahan, kem motivasi, pendedahan latihan dan kejohanan di luar negara.

“Sehingga kini program latihan dan persediaan atlet berada di landasan baik untuk kontinjen terus bersaing dan menjadi pencabar utama Sukma di Johor nanti,” katanya.

Kali terakhir Selangor menjuarai Sukma pada 2016 dengan mengutip 59 emas, 73 perak dan 64 gangsa mengatasi tuan rumah Sarawak dan Terengganu.


Pengarang :