Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan sedia bawa pulang 78 rakyat Malaysia di Wuhan

PUTRAJAYA, 29 JAN: Malaysia bersedia membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan, China berikutan wabak koronavirus 2019 jika dibenarkan kerajaan negara itu, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata untuk tujuan itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China, lapor Bernama.

“Mereka (rakyat Malaysia) sekarang tidak boleh keluar dari Wuhan tetapi kita ingin runding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik ke sini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 78 rakyat Malaysia di Wuhan ketika ini dan jika dibenarkan pulang, mereka dikuarantin terlebih dahulu bagi memastikan bebas jangkitan koronavirus, sebelum dibenarkan pulang ke kediaman.

“Mereka akan tertakluk kepada 14 hari kuarantin bagi menentukan mereka tidak menghidap jangkitan virus tersebut,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga ingin menghantar barangan bantuan berupa makanan, penutup hidung dan mulut serta sarung tangan ke Wuhan.

Katanya ini berikutan terdapat laporan bahawa rakyat Malaysia mempunyai bekalan makanan yang mencukupi hanya untuk empat hari sahaja.

“Kita berminat juga untuk bantu Wuhan, jadi kalau kita terpaksa hantar kapal terbang untuk ambil balik rakyat kita, kalau dibenar oleh kerajaan China, kita akan bawa makanan, sarung tangan dan penutup hidung dan mulut kalau kita ada, sebab di sana pun dah kekurangan bekalan,” katanya.

Ditanya secepat mana rakyat Malaysia di Wuhan boleh dibawa pulang, Dr Mahathir berkata ini bergantung kepada kebenaran daripada kerajaan China.

 


Pengarang :