AGENSI SELANGOR

YIDE agih RM2.8 juta bantu golongan sasar

SHAH ALAM, 21 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengagihkan RM2.8 juta kepada golongan memerlukan dan pusat dialisis di negeri ini sepanjang tahun lalu, kata Pengurus Besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata yayasan menyalurkan sumbangan daripada syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan serta orang awam yang dianggap berjaya kerana jumlah agihan melebihi tahun sebelumnya.

“YIDE memberi RM900,000 kepada 9,000 anak yatim individu dengan setiap seorang menerima RM100 manakala RM500,000 kepada 15 rumah kebajikan.

“Kita juga membeli 10 mesin dialisis dan dua mesin penapis air layan diri bernilai RM600,000 disumbangkan kepada pusat dialisis selain RM100,000 kepada mangsa ditimpa musibah dan malapetaka,” katanya melalui kiriman WhatsApp.

Kaedah sumbangan YIDE juga dipelbagai dengan adanya Jom Pay Snap & Pay dan melalui payment gateway yang boleh diakses di https://yide.com.my/.

Sumbangan terbabit tidak termasuk RM2.5 juta daripada Central Spectrum (M) Sdn Bhd bagi membiayai pembangunan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah.


Pengarang :