A. Xavier Jayakumar
AGENDANASIONAL

2020 tahun penting biodiversiti Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Tahun 2020 menjadi tahun penting bagi biodiversiti negara dengan penubuhan Pusat Biodiversiti Negara dan semakan semula undang-undang berkaitan perlindungan hidupan liar dan hutan, bakal menjadi tumpuan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A. Xavier Jayakumar berkata 2020 juga akan menyaksikan Malaysia menganjurkan Persidangan Biodiversiti ASEAN (ACB 2020) ketiga yang akan membolehkan negara menilai pencapaiannya berbanding sasaran biodiversiti global dan serantau.

“Pusat biodiversiti sering diperkatakan tetapi tidak ditubuhkan. Bagaimanapun, sekarang kita ada peruntukan belanjawan untuk membina pusat itu yang dikenal pasti akan terletak di Paya Indah Wetlands di Banting. Kami juga bekerjasama dengan sektor swasta dalam penubuhan pusat itu.

“Malaysia ialah negara biodiversiti mega, flora dan faunanya menempatkan spesies paling unik di dunia, dan kami sentiasa menemukan spesies baharu. Pusat ini akan membolehkan kami meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain dan juga badan bukan kerajaan (NGO), dalam usaha meningkatkan pengetahuan tentang biodiversiti kita, ” katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Pusat Biodiversiti Negara berobjektif untuk berfungsi sebagai peneraju dalam menguruskan pengumpulan data mengenai khazanah biodiversiti negara, penyelidikan biodiversiti dan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

Xavier berkata terdapat beberapa kawasan dilindungi di Malaysia dengan beberapa daripadanya diubah menjadi Geopark seperti Langkawi UNESCO Global Geopark dan Geopark Lembah Kinta.

Menurutnya, Malaysia juga dalam waktu terdekat akan mengumumkan lima lagi Geopark dan menurutnya Johor, Pahang, Kedah, Perlis, dan Labuan ialah antara negeri yang berminat mewujudkan Geopark.

Sementara itu, Xavier berkata sebaik menerajui kementerian itu, beliau merancang untuk melakukan pembaharuan undang-undang dan selepas dua tahun, kementerian memutuskan untuk menyemak beberapa undang-undang.

“Antara lain, kami memutuskan untuk menyemak semula Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perhutanan Negara 1984. Tujuan utama pindaan ini adalah untuk mengetatkan lagi undang-undang khususnya membabitkan kesalahan berkaitan aktiviti haram di hutan,” katanya.

Cadangan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perhutanan Negara 1984 masing-masing akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Mac dan November.

Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan itu mencadangkan penalti dinaikkan 100 peratus berserta hukuman penjara, bagi kesalahan berkaitan perbuatan mengiklankan dalam talian penjualan bahagian-bahagian haiwan dan memiliki haiwan yang dilindungi atau bahagiannya.

Selain itu, katanya selepas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama-sama polis dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan operasi Ops Belang dan Operasi Bersepadu Khazanah pada tahun lepas untuk menangani pemburuan haram di negara ini, keadaan telah bertambah baik.

Menurut Xavier, 82 pemburu haram telah ditangkap dalam operasi itu dan ini telah berjaya mengekang aktiviti pemburuan haram.

– BERNAMA


Pengarang :