AGENDAEKONOMI

Biodiesel B20 perkukuh permintaan minyak sawit – TPM

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan menyediakan sokongan mampan permintaan minyak sawit seterusnya memastikan harganya kukuh.

Katanya peningkatan kadar adunan biodiesel sawit dapat menggiatkan perkembangan industri biodiesel negara selain kilang biodiesel sawit turut dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

“Malaysia juga harus berani menggandakan penggunaan biodiesel sawit bagi mengukuhkan industri sawit dan ekonomi negara.

“Pembangunan mampan dan berterusan industri sawit negara juga membantu 650,000 pekebun kecil sawit yang memerlukan dasar membantu mereka meningkatkan ekonomi,” katanya ketika melancarkan Program Biodiesel B20 di Sektor Pengangkutan Secara Berfasa Seluruh Negara, di sini, hari ini.

Program biodiesel B20 bagi penggunaan di sektor pengangkutan itu mempunyai adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dan 80 peratus diesel petroleum.

Wan Azizah berkata perladangan kelapa sawit di Malaysia merangkumi kawasan seluas enam juta hektar dapat menghasilkan dua puluh juta tan metrik minyak sawit setiap tahun dan dieksport ke lebih 160 negara di seluruh dunia.

Industri berkenaan juga menyediakan pekerjaan kepada lebih tiga juta di sepanjang rantaian bekalannya termasuk kepada lebih daripada setengah juta pekebun kecil di seluruh negara.

-BERNAMA


Pengarang :