Aksi ceria dua orang pesakit di bawah pengawasan (patient under surveillance) ketika proses keluar dari Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada 18 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 107 dari Wuhan dibenar keluar pusat pemantauan

PUTRAJAYA, 18 FEB: Semua 107 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu susulan wabak Covid-19 telah dibenarkan keluar dari pusat pemantauan di Nilai, Negeri Sembilan setelah tamat tempoh kuarantin.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif jangkitan Covid-19.

“Mereka yang dibenarkan pulang ini termasuk dua kes yang sebelum ini positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di sini hari ini.

Dzulkefly bagaimanapun menjelaskan seorang daripada 107 individu berkenaan sedang menerima rawatan di wad bagi isu kesihatan yang dialami, dan ia tiada kaitan dengan Covid-19.

Kumpulan itu dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat khas melalui misi bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Mereka kemudiannya dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) untuk menjalani tempoh pemantauan selama 14 hari, mulai 4 Februari lalu.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kekal 22 dengan 11 daripadanya masih dirawat di hospital.

“Bilangan kes yang telah discaj dari hospital sehingga hari ini ialah 11,” katanya sambil menambah tiada kes baharu dilaporkan hari ini.

Dua puluh dua kes itu merangkumi 12 yang dilaporkan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), lapan dalam kalangan kontak rapat, dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang melalui misi bantuan kemanusiaan dari Wuhan.

Bilangan itu juga terdiri daripada 15 warganegara China, enam rakyat Malaysia dan seorang warganegara Amerika Syarikat.

Sehingga hari ini, sejumlah 583 PUI dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC). Bagi kontak rapat kepada kes positif, 230 kes dikesan adalah negatif dan 13 kes masih menunggu keputusan makmal.

Sementara itu, mereka yang menjalani tempoh kuarantin di AKEPT dilihat mula keluar dari lokasi itu pada kira-kira 4.30 petang tadi setelah dibenarkan berbuat demikian.

Menurut penyelaras bagi pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Nur Adibah Shaharul, mereka didapati negatif jangkitan Covid-19 selepas menjalani peringkat akhir ujian sampel bagi virus itu semalam.

Dr Nur Adibah, yang juga Pegawai Perubatan Penyelaras Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, berkata setiap individu berkenaan telah menjalani ujian sampel sebanyak tiga kali sepanjang tempoh pengawasan.

“Pertama, KKM melakukan ujian sampel pada 4 Februari di Air Disaster Unit (ADU) sejurus mereka tiba di lapangan terbang. Ujian sampel dilakukan sekali lagi pada 10 Feb manakala dalam peringkat terakhir pula, ujian sampel dilakukan semalam (17 Februari),” katanya ketika ditemui Bernama.

Misi membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dilakukan selepas mereka terkandas di Wuhan berikutan sekatan perjalanan keluar masuk oleh kerajaan China sejak 23 Januari lalu, susulan penularan wabak Covid-19 di negara itu.

Ditanya mengenai prosedur operasi selepas tempoh kuarantin itu tamat, Dr Nur Adibah berkata pihaknya terus melakukan pembersihan secara klinikal terutama di bilik yang didiami mereka.

“Kita akan buat proses pembersihan secara klinikal seperti disinfeksi pada setiap koridor bangunan, permukaan perabot, tilam, langsir dan sebagainya. Prosedurnya sama seperti proses pembersihan yang dilakukan di hospital,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :