Pengunjung melalui pemeriksaan suhu di Singapore Airshow di tengah-tengah kebimbangan mengenai penyebaran Covid-19 di negara itu pada 13 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Satu kes baharu jangkitan di Singapura, jumlah kini 85

SINGAPURA, 20 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan satu lagi kes jangkitan Covid-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini meningkat ke 85.

Kementerian itu berkata, kes terbaharu melibatkan seorang lelaki warganegara China pemegang Pas Kerja Singapura dan tiada sejarah perjalanan ke China.

MOH berkata lelaki itu telah disahkan dijangkiti Covid-19 pagi ini dan ketika berada di wad isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

“Pengesanan kontak sedang dijalankan bagi melihat sebarang kaitan dengan kes sebelum ini atau perjalanan ke China,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehingga kini enam kes dikaitkan dengan gereja Life Church and Missions Singapura; sembilan dengan kedai ubat Yong Thai Hang; tiga dengan mesyuarat perniagaan di Grand Hyatt Singapura, lima dengan tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights; dan 22 kepada gereja Grace Assembly of God.

MOH berkata, tiga lagi kes jangkitan Covid-19 telah dibenarkan pulang hari ini, menjadikan 37 orang telah pulih sepenuhnya daripada virus tersebut.

Daripada 48 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih mankala empat dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sehingga tengah hari hari ini, MOH telah mengenal pasti 2,616 kontak rapat yang telah di kuarantin dan daripada jumlah itu, 1,469 telah melengkapkan kuarantin mereka.

– BERNAMA


Pengarang :