Seorang pesakit yang dirawat di dewan pameran yang diubah suai menjadi hospital sementara di Wuhan menutup badan menggunakan cadar pada 5 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Hospital Wuhan guna robot 5G bantu pesakit koronavirus

WUHAN, 7 FEB: Dua hospital di Wuhan menggunakan robot yang dilengkapi teknologi 5G untuk membimbing pesakit dan menyahjangkit kawasan kuarantin bagi mengurangkan infeksi silang, lapor agensi berita Xinhua.

Satu robot, dipasang dengan kemudahan skrin interaktif, digunakan di dewan hospital untuk membimbing pesakit bagi menjalani diagnosis dan mempromosikan maklumat mengenai pencegahan wabak, menurut syarikat yang membangunkan robot itu, CloudMinds.

Satu lagi robot diprogramkan untuk membersihkan dan menyahjangkit kawasan kuarantin serta menghantar ubat-ubatan.

Robot itu disumbangkan ke hospital yang dikhaskan untuk merawat pesakit yang dijangkiti koronavirus 2019, menurut syarikat itu.

Robot ditugaskan di barisan hadapan dalam membantu China memerangi wabak koronavirus selain untuk mengurangkan risiko infeksi silang dan meningkatkan kecekapan.

Pengilang robot Siasun dan Institut Automasi Shenyang Akademi China sedang membangunkan robot yang boleh menggantikan jururawat dalam menjalankan ujian pada tekak untuk mengesan virus itu.

– BERNAMA


Pengarang :