Liridon Krasniqi bersalam dengan Stuart Ramalingam selepas menerima MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya pada 3 Februari 2020. Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Liridon sah warganegara, bakal sertai Harimau Malaya

SHAH ALAM, 3 FEB: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Liridon Krasniqi sah diberi taraf kewarganegaraan Malaysia dengan menerima MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya hari ini.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata pemain tengah dari Kosovo itu hanya menunggu kelulusan terakhir Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk layak menyarung jersi Harimau Malaya.

“Selepas bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap usia 28 tahun pada 1 Januari 2020 kini turut menunggu kelulusan FIFA bagi disenarai sebagai pemain naturalisasi.

“FAM akan menghantar segera taraf kewarganegaraan Liridon kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan,” katanya menerusi Facebook rasmi FAM hari ini.

Beliau berkata kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya diharap dapat memperkasakan lagi pasukan.

FAM turut berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan kementerian kerana membantu sepanjang proses Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan.


Pengarang :