BERITA UTAMA

MB harap misi bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan dipermudah

SHAH ALAM, 2 FEB: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berharap misi membawa pulang 120 rakyat Malaysia di wilayah Hubei dipermudahkan.

Amirudin menerusi hantaran Twitternya berkata, doa rakyat Malaysia turut mengiringi pasukan peninjau yang terdiri daripada kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

“Semoga misi ini dipermudahkan dan dipelihara dengan rahmat ALLAH SWT. Terima kasih atas pengorbanan anda,” tulisnya.

Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata pasukan terdiri dari enam pegawai kedutaan itu ditugaskan untuk mengumpul dan mengemas kini senarai rakyat Malaysia yang berada di republik berkenaan.

Ia bagi menyelaras dan membantu proses membawa pulang 120 rakyat Malaysia di wilayah Hubei susulan penularan wabak koronavirus 2019 di negara itu.

Katanya pasukan itu juga akan berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi melancarkan proses penghantaran pulang nanti.


Pengarang :