Datuk Dr Xavier Jayakumar ketika sesi temu bual eksklusif bersama Bernama di ibu kota hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perbincangan tarif air dengan negeri masih berlangsung

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli masih mengadakan perbincangan dengan setiap negeri bagi melaksanakan kajian semula tarif air di negara ini.

Menterinya Datuk Dr A Xavier Jayakumar berkata perbincangan berhubung perkara itu telah berlangsung sejak 15 hingga 20 tahun lepas namun tiada keputusan muktamad.

“Kajian semula tarif air bukan sesuatu yang baharu, ” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menjadi tetamu Concorde Club yang membincangkan mengenai perlindungan sumber semula jadi dan hidupan liar di negara ini.

Dr Xavier berkata terdapat negeri mempunyai masalah dari segi bekalan air perindustrian dan tanpa campur tangan kerajaan Persekutuan, kawasan terlibat masih mengalami masalah tekanan air.

Sementara itu, beliau yang menganggap air sebagai isu hak asasi manusia berkata penyertaan sektor swasta diperlukan untuk pembangunan industri air negara.

Oleh itu, katanya pindaan kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia) akan menyelaras prosedur dan peraturan dalam pelaksanaannya.

Untuk rekod, cadangan pelaksanaan mekanisme itu melibatkan kenaikan sebanyak 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter, cukup rendah berbanding bayaran utiliti lain seperti elektrik, gas dan telekomunikasi.

Purata kadar tarif air semasa adalah RM1.38 setiap 1,000 liter berbanding kos sebenar RM2.31 bagi setiap 1,000 liter.

-BERNAMA


Pengarang :