AGENDASUKANKINI

TM kembali taja Liga Malaysia tiga tahun

SHAH ALAM, 7 FEB: Telekom Malaysia (TM) menerusi subsidiarinya TM Multimedia (TMM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memeterai perjanjian penajaan utama Liga Malaysia selama tiga tahun.

Kerjasama ini meliputi hak penyiaran eksklusif dan hak ‘streaming mobile’ (mudah alih) serta dalam talian bagi Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia pada semua platform unifi TV.

Ketua Pegawai Eksekutif TM Multimedia, Moharmustaqeem Mohammed berkata perjanjian membuktikan usaha berterusan TM dalam membangunkan sukan bola sepak di Malaysia.

“Kami mahu membawakan saat-saat menarik perlawanan bola sepak kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya perlawanan Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih, Liga Super dan Liga Premier,” katanya dalam kenyataan.

Moharmustaqeem mewakili TM Multimedia menandatangani perjanjian bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dengan disaksikan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Perjanjian turut menyaksikan TM menjadi penaja utama rasmi kejohanan Piala Malaysia yang dijenamakan semula sebagai ‘TM Piala Malaysia’.

Peminat boleh menonton perlawanan bola sepak melalui perkhidmatan penstriman unifi TV dan unifi PlayTV yang boleh dimuat turun di Apple AppStore dan Google Play Store.

Bagi pelanggan unifi yang tidak mempunyai Pek Ultimate, mereka boleh memilih pas tontonan Liga Malaysia dengan unifi TV melalui Media Box atau unifi PlayTV app pada harga RM3 untuk perlawanan individu, bulanan (RM15), Liga Super atau Piala FA (RM100), Piala Malaysia (RM50) dan VVIP Pasukan Malaysia (RM120).


Pengarang :