ADNSELANGOR

ADN: Bantuan makanan kepada asnaf, ibu tunggal dan OKU

SHAH ALAM, 24 MAC: Beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor mula melancarkan bantuan buat golongan asnaf, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) yang menghadapi kesukaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

ADN Sungai Air Tawar, Rizam Ismail berkata inisiatif itu dilakukan ekoran kedai runcit dan kedai makan di kawasannya ditutup.

“Tambah memburukkan keadaan apabila jarak perjalanan rumah penduduk dengan pekan mencecah 20 kilometer, memang jauh.

“Jadi saya lancarkan inisiatif dengan menghantar barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, telur ayam dan biskut kering untuk memudahkan urusan kehidupan seharian mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Selain Rizam, ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei turut melancarkan Program Bantuan Harapan Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku kepada penduduk di SS1, SS2, SS3, SS9A dan Seksyen 20, 21 dan 22.

“Barangan runcit ini akan dihantar kepada warga emas tinggal bersendirian dan OKU. Orang awam boleh menghubungi talian 0165236343 atau 0125918028 untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sementara itu ADN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran tidak mahu ada keluarga atau individu yang kelaparan kerana tidak berkemampuan sepanjang tempoh kawalan hingga 31 Mac ini.

“Saya mahu anda menghubungi talian 0329359135 sekiranya megenali keluarga dalam kawasan Dun Bukit Gasing yang menghadapi kesukaran,” katanya.


Pengarang :