DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor titah tabligh berhimpun di Masjid Sri Petaling saring Covid-19

SHAH ALAM, 24 MAC: Peserta program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur digesa tampil menjalani saringan kesihatan, titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, kedegilan mereka dikhuatiri menyebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, sekali gus menjejaskan kehidupan semua pihak.

“Ia akan menjejaskan lagi kegiatan harian rakyat dan memberi impak serius terhadap pendapatan pelbagai golongan seperti peniaga dan usahawan kecil,” titah baginda menerusi laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Terdahulu Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan.

Pada pertemuan tersebut baginda diberi taklimat Dato’ Menteri Besar berhubung kedudukan semasa dan perkembangan terkini mesyuarat Majlis Tindakan Khas Covid-19 Negeri Selangor.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis telah mula memburu baki kira-kira 3,800 jemaah tabligh yang dikenal pasti belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Ismail Sabri berkata polis sudah mempunyai senarai nama lengkap jemaah yang menghadiri perhimpunan pada akhir bulan lepas.


Pengarang :