Anggota Polis Pelancong dari Balai Polis Masjid India, Sarjan Mejar Abd Manab Baki (tengah) memberi nasihat dan penerangan kepada orang awam supaya tidak bersiar-siar tanpa tujuan penting ketika membuat rondaan di sekitar jalan Masjid India pada 20 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Berita ditular palsu, tiada arahan tangkap penduduk Selayang Indah

SHAH ALAM, 28 MAC: Polis menafikan ada mengeluarkan arahan untuk menangkap dan mendakwa penduduk Taman Selayang Indah yang ingkar larangan keluar rumah selepas tempoh tertentu seperti tular di media sosial.

Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata ia adalah berita palsu dan tiada arahan seumpama itu dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Polis menafikan dakwaan terdapat arahan ketua polis negara yang tidak membenarkan penduduk Selayang Indah keluar dari rumah mulai jam 6 petang dan sesiapa yang ingkar akan ditangkap dan didakwa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Kenyataan media itu dikeluarkan bagi menjawab tiga berita palsu ditularkan di media sosial ketika pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan Covid-19.

Pasukan berkenaan berkata, Ketua Polis Daerah Marang turut menafikan gambar tular mendakwa pihaknya mengarahkan sekumpulan remaja lelaki di Kampung Batangan meniarap di bahu jalan kerana ingkar PKP.

“Ketiga, Ketua Polis Daerah Penampang menafikan siaran gambar yang menunjukkan situasi dalam lokap Balai Polis Penampang,” katanya.


Pengarang :