Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian Kesihatan terima 100,000 kit ujian dari China

PUTRAJAYA, 28 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menerima 100,000 kit ujian COVID-19 dari China, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata kit ujian itu telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan diberi jaminan oleh Duta Besar China di Malaysia.

“Saya telah diberi jaminan oleh duta bahawa yang ini lebih tepat berbanding yang kami uji,” katanya dalam sidang media harian di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata KKM juga menerima kit ujian dari Korea Selatan malam semalam, bagaimanapun pasukannya masih menilai kit ujian itu dan belum menerima apa-apa laporan lagi.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi bulan Ramadan, Dr Noor Hisham berkata terlalu awal untuk meramalkan perkembangan kes Covid-19, pada ketika ini.

Beliau sekali lagi menegaskan adalah penting dalam tempoh dua minggu ini, rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan usaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak itu tercapai.

“Agak terlalu awal untuk kami ulas, jika anda mahu ramalkan berdasarkan (laporan) JP Morgan pada pertengahan April bahawa kemungkinan kita akan mempunyai kes puncak sehingga mencecah 6,300 kes.

“Jika kita lihat laporan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), ramalan mereka lebih tinggi iaitu 8,900 kes. Semuanya bergantung kepada kita dan orang ramai sekarang, jika kita boleh bekerjasama dan berganding bahu dan memahami mesej itu, semua orang mempunyai peranan untuk dilakukan seperti yang saya katakan.

“Jika anda boleh duduk di rumah dan putuskan rantaian jangkitan serta mengurangkan jangkitan mungkin keadaan kita lebih baik daripada ramalan JP Morgan atau MIER,” katanya.

Ditanya mengenai ketepatan kajian yang dilakukan JP Morgan dan MIER, beliau berkata hanya masa yang dapat menentukannya, bagaimanapun, apa yang paling penting rakyat Malaysia harus berganding bahu untuk mengurangkan kes Covid-19.

“Masa yang akan menentukannya, tetapi saya fikir, kami telah cuba melakukan yang terbaik untuk menurunkan kes ini, semua orang di KKM, kami bekerja sepanjang masa untuk memastikan kami dapat menyampaikan dan mengurangkan kes serta mungkin dapat membuktikan ramalan itu tidak benar,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kes bunuh diri melibatkan seorang pesakit di sebuah hospital, Dr Noor Hisham mengesahkan individu itu bukan pesakit Covid-19.

“Sesiapa yang masuk ke ICU (Unit Rawatan Rapi) memang pihak hospital akan ambil ujian untuk Covid-19, mungkin ada penyakit lain atau sebagainya…ujian yang dilakukan adalah negatif, jadi bukan pesakit Covid-19. Memang ada kes bunuh diri tapi bukan pesakit Covid-19,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata KKM juga turut menggesa 5,084 jemaah yang hadir perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan Covid-19.

“Kami perlu mencari 5,084 individu ini, mereka masih belum diperiksa. Harap kami dapat menguji mereka. Kami bekerja rapat dengan polis untuk menggalakkan mereka datang ke klinik kami dan kami dapat melakukan ujian ke atas mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :