Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Agong titah umat Islam solat hajat di rumah

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan semua rakyat mengadakan solat hajat khusus bagi menolak penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata titah itu disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin kepada pihaknya petang semalam.

Justeru Zulkifli berharap semua pihak dapat bersama-sama menyahut titah Al-Sultan Abdullah dengan melaksanakannya di rumah dan tempat masing-masing, di samping mematuhi arahan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Solat Hajat tersebut boleh dilakukan pada waktu siang atau malam kecuali pada waktu-waktu yang diharamkan solat.

“Begitu juga, marilah kita membanyakkan istighfar, taubat, zikrullah dan amalan ketaatan serta munajat yang tak putus-putus kepada-Nya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zulkifli turut berkongsi waktu-waktu yang diharamkan solat iaitu sesudah solat Subuh hingga terbit matahari, selepas terbit matahari hingga kadar tujuh hasta pandangan mata (kira-kira 3 darjah), ketika matahari tegak di atas kepala kecuali pada hari Jumaat, selepas solat Asar dan ketika matahari kemerahan di waktu senja hingga terbenam seluruh bulatannya.

– BERNAMA


Pengarang :