Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Aplikasi telefon pintar kesan pergerakan

SHAH ALAM, 27 MAC: Malaysia sedang menyediakan aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan pergerakan individu dalam usaha mengekang penularan Covid-19, kata menteri sains, teknologi dan inovasi.

Khairy Jamaluddin berkata teknologi tersebut mampu mengesan sejarah pergerakan individu dijangkiti virus, termasuk kontak yang pernah berhubung dengan pesakit.

“Beberapa hari lalu, Singapura melancarkan aplikasi telefon bimbit bernama ‘TraceTogether’ yang boleh mengesan pergerakan rakyat mereka supaya apabila berlaku kes positif, mereka boleh melihat sejarah pergerakan.

“Mereka juga boleh memberi amaran kepada orang lain berhampiran dengan pesakit untuk membuat ujian (saringan),” katanya ketika menjadi moderator forum dalam talian di Facebook rasmi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) hari ini, seperti dilapor Berita Harian.

Forum bertajuk ‘Penyesuaian Terhadap Cabaran Covid-19’ itu disertai tiga ahli panel iaitu Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud (pakar epidemiologi); Prof Dr Shamala Devi Sekaran (pakar imunologi dan virologi); dan Prof Dr Mahendhiran Sanggaran Nair (data sains dan statistik).

Dilancarkan pada 20 Mac lalu, aplikasi TraceTogether boleh mengesan individu yang berada dalam jarak dua meter daripada pesakit Covid-19 sekurang-kurangnya selama 30 minit, menggunakan teknologi isyarat Bluetooth.

Pembangun aplikasi itu berkata, ia berguna apabila mereka yang dijangkiti tidak ingat siapa yang mereka berhubung rapat untuk tempoh tertentu.


Pengarang :