Pengarah Perkeso Selangor Mustafa Draman. Foto SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Bantuan RM600 buat pekerja, majikan terjejas

SHAH ALAM, 22 MAC: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menyediakan bantuan kewangan sementara RM600 sebulan kepada pencarum yang terjejas susulan penularan Covid-19, kata pengarahnya.

Mustafa Draman berkata bantuan di bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) membantu majikan yang terpaksa mengurangkan kos operasi dan meminta pekerja bercuti tanpa gaji.

“ERP meliputi semua pekerja sektor swasta termasuk sambilan yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), gaji bulanan RM4,000 dan ke bawah serta diberi notis cuti tanpa gaji mulai 1 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata majikan perlu mengkreditkan bayaran tersebut ke dalam akaun pekerja dalam tempoh tujuh hari selepas diterima daripada Perkeso atau berdepan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Mustafa berkata pekerja yang diberhentikan, pekerja sektor awam, bekerja sendiri termasuk sambilan, pekerja asing dan pegawai dagang tidak termasuk di bawah program berkenaan.

SIP Perkeso yang melindungi 6.9 juta pekerja swasta jika berlaku kehilangan pekerjaan menyediakan bantuan kewangan segera dan program penempatan pekerjaan serta latihan.

Tuntutan boleh dibuat di pejabat Perkeso di seluruh negara atau dalam talian di laman sesawang www.perkeso.gov.my


Pengarang :