Pekerja kedai makan dilihat mengemas kerusi dan meja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Operasi premis makanan khusus dibawa pulang

PUTRAJAYA, 17 MAC: Premis makanan boleh beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah jangkitan penyakit COVID-19 namun ia perlu menjual makanan yang khusus untuk dibawa pulang sahaja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi menarik perhatian bahawa premis makanan perlu beroperasi sepanjang tempoh itu untuk memenuhi keperluan orang ramai.

“Premis makanan termasuk restoran, kedai mamak dan kopitiam hanya dibenarkan menjual makanan secara bawa pulang, jangan buka dan benarkan orang berkumpul (untuk makan).

“Kalau ada khidmat penghantaran makanan di rumah, itu lebih baik kerana memudahkan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata pasar malam dan bazar juga perlu ditutup sepanjang tempoh itu kerana lokasi sedemikian menggalakkan orang ramai berkunjung dan tidak menggalakkan ‘penjarakan sosial.’

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan bahawa Malaysia akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mencegah penularan baharu wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

-BERNAMA


Pengarang :