Perkhidmatan bas dan kereta api ditutup sebahagiannya susulan keputusan kerajaan Britain mengharamkan semua perjalanan tidak penting. Foto: SKYNEWS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Sebahagian rangkaian kereta api bawah tanah London tutup

LONDON, 19 MAC: Perkhidmatan rangkaian kereta api bawah tanah London ditutup sebahagiannya, lapor agensi berita Anadolu, memetik Transport London pada Khamis.

Bermula hari ini sehingga diberitahu kelak, 40 stesen kereta api akan ditutup.

Rangkaian Waterloo & City ditutup sepenuhnya. Semua rangkaian ditutup pada Jumaat dan Sabtu, hanya kakitangan yang menjalankan tugas kritikal seperti pegawai kesihatan dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas.

Perkhidmatan bas dan kereta api ditutup sebahagiannya susulan keputusan kerajaan mengharamkan semua perjalanan tidak penting.

Sky News melaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menutup kebanyakan kedai di ibu negara pada hujung minggu.

Farmasi dan pasar raya tetap dibuka tetapi di bawah pengawasan. Namun, belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu.

Kerajaan juga memutuskan menutup sekolah sehingga diberitahu kelak.

Menurut data Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS), Covid-19 meragut 33 nyawa dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka korban seramai 104 orang.

Kes yang disahkan meningkat sebanyak 676 lagi menjadikan jumlah keseluruhan 2,526 orang.

-BERNAMA


Pengarang :