Gambar fail yang diambil pada 20 Julai 2014 menunjukkan serpihan pesawat MH17 yang terhempas. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Empat tertuduh tidak tampil bicara MH17

AMSTERDAM, 10 MAC: Seperti yang dijangkakan, tiada seorang pun tertuduh daripada empat lelaki yang menghadapi pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 membuat kemunculan di mahkamah semalam untuk menghadapi pertuduhan jenayah itu.

Hakim Hendrik Steenhuis yang mengetuai panel tiga hakim dalam ucapan pembukaannya berkata pihak pendakwaan membuat segala percubaan untuk menyerahkan saman kepada mereka memaklumkan kes itu.

Mereka terdiri daripada tiga warga Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko.

Mereka menghadapi pertuduhan menyebabkan pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas, mengakibatkan kematian 298 orang orang di dalam pesawat, yang boleh dihukum mengikut Perkara 168 Kanun Jenayah Belanda dan Perkara 289 Kanun Jenayah Belanda.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara 30 tahun tanpa parol atau peluang untuk dibebaskan lebih awal.

Hakim itu berkata dalam usaha menyerahkan saman, pihak pendakwa menghantarnya kepada seorang daripada defendan di alamat kediamannya yang terakhir tetapi dikembalikan semula.

Beliau berkata seorang lagi defendan sebaik mengetahui mengenai saman itu mendedahkan kepada media bahawa dia tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau berkata selepas gagal untuk menyerahkan saman, pihak pendakwa menghubungi mereka melalui media sosial untuk memaklumkan mengenai kes mahkamah.

“Pihak pendakwaan juga cuba menghubungi defendan (pihak tertuduh) melalui FB (Facebook), WhatsApp dan Messenger, tetapi tiada jawapan daripada mereka,” kata hakim itu.

Beliau berkata seorang daripada defendan ketika dihubungi ada menjawab panggilan telefon tetapi menafikan beliau adalah orang yang dicari.

Hakim itu berkata, kemudian ketika dihubungi semula pihak pendakwa, tertuduh tidak mengangkat panggilan tersebut.

Hakim tersebut berkata memandangkan defendan tidak hadir ke mahkamah, kesemua tertuduh akan dibicarakan tanpa kehadiran mereka.

Beliau juga menegaskan seorang daripada defendan, Pulatov diwakili oleh dua peguam dari Belanda dan mereka telah diberi kebenaran untuk mengkaji kes yang dihadapi anak guam mereka untuk persediaan perbicaraan.

Beliau berkata pihak pendakwa telah memfailkan kes yang mengandungi dokumen lebih 36,000 muka surat.

Perbicaraan bersambung hari ini pada 10 pagi.

Seramai 298 penumpang dan anak kapal terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 193 warganegara Belanda dan 27 warga Australia terkorban selepas pesawat penerbangan MH17 itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.

-BERNAMA


Pengarang :