AGENDABERITA UTAMANASIONAL

‘Health tag’ tidak boleh cegah virus – Pusat Racun Negara

SHAH ALAM, 31 MAC: Pusat Racun Negara (PRN) menyangkal dakwaan penggunaan kad gantung di baju (health tag) mengandungi bahan kimia klorin dioksida yang sedang laris dijual dalam talian ketika ini boleh merawat Covid-19.

Menurut PRN, kajian mendapati tiada kesan pembasmian kuman atau virus berlaku pada kad yang kononnya boleh mencegah jangkitan melalui pembebasan gas klorin dioksida di sekitar pemakainya.

Sebaliknya, gas yang dibebaskan adalah sangat rendah atau tidak dapat dikesan langsung pada kad yang digunakan dengan cara gantung pada baju itu.

“Kajian khusus dibuat dan turut diterbitkan menerusi artikel “Hidekazu NISHIMURA, Investigation on Practical Usefulness of Body-worn Devices that Claim to Release Chlorine Dioxide. Japanese Journal of Environmental Infections 32(4):222-226, July 2017.

“Dapatan ini menunjukkan pemakaian ‘health tag’ tidak berkesan untuk mencegah jangkitan kuman atau virus sedia ada apatah lagi Covid-19,” kata Pusat Racun Negara melalui hantaran Facebook semalam.

PRN melahirkan kebimbangan berikutan terdapat ramai pengguna percaya dan merasakan selamat serta dilindungi daripada jangkitan apabila memakai kad gantung tersebut.

Kesannya, pemakai mungkin akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan sebetulnya seperti kerap membasuh tangan dan penjarakan sosial.


Pengarang :