AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Teknologi pintar mampu tangani wabak Covid-19

SHAH ALAM, 31 MAC: Penggunaan teknologi pintar mampu meningkatkan keupayaan mengesan pesakit Covid-19 sekali gus mengesahkan ujian saringan ke atas individu disyaki, kata ketua pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menekankan langkah melaksanakan ujian saringan bagi menamatkan pandemik wabak berkenaan.

“Justeru penambahan 10 makmal diagnostik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mampu meningkatkan kapasiti ujian saringan Covid-19, syabas,” katanya di Facebook baru-baru ini.

Namun Dr Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan menegaskan, epidemik Covid-19 tidak dapat dihentikan begitu sahaja sekiranya orang ramai tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, PKP mengurangkan kes positif Covid-19 kerana ia memutuskan rantaian tranmisi wabak sekali gus mengurangkan beban fasiliti kesihatan terutama unit rawatan rapi (ICU) dan petugas barisan hadapan.

Tambah Dzulkefly, kaedah menamatkan PKP juga perlu dirancang dengan baik dan berkesan ekoran keadaan selepas ini tidak sama seperti sebelum PKP.

“Ini kerana kemungkinan muncul pula Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) atau Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

“Fenomena seperti inilah yang ditakuti China sekarang iaitu ‘kes import’ yang datang dari luar negara,” katanya.


Pengarang :