BERITA UTAMASELANGOR

Jais: Operasi masjid berjalan biasa, tutup jika arahan KKM

Oleh Norrasyidah Arshad

SHAH ALAM, 15 MAC: Semua masjid di Selangor beroperasi seperti biasa dan tiada arahan penutupan sementara, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata penutupan masjid disebabkan Covid-19 boleh dilakukan jika ada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setakat ini, Jais ada menerima permohonan Masjid Al Munawwarah Seksyen 27 untuk ditutup sementara waktu kerana seorang jemaahnya dijangkiti Covid-19 ketika bercuti di Vietnam.

“Bagaimanapun, perkara itu tidak dibenarkan dan meminta pihak masjid menarik balik arahan penutupan sementara dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata pengurusan masjid harus mengamalkan langkah pencegahan disarankan KKM selain memastikan kebersihan.

Katanya, individu dijangkiti Covid-19 juga diminta tidak hadir ke masjid selagi belum disahkan bebas dari wabak terbabit.

“Kita faham kelebihan solat jemaah serta kelebihan lain namun jika ia memudaratkan, individu itu harus memberikan kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Nazir Masjir Masjid Al Munawwarah, Seksyen 27, Muhaiyat Husin dalam kenyataan berkata penutupan sementara dibuat untuk sebarang aktiviti termasuk solat fardhu.

Katanya, azan dan solat didirikan pegawai masjid bertugas seperti biasa, namun jemaah dan ahli kariah tidak digalakkan hadir berjemaah di masjid.


Pengarang :