BUDAYARENCANA

Parsel

Oleh A.J.F

 

PANGGIL saja aku Parsel. Dunia aku mengembara. Selagi ada kehidupan selagi itu aku tak henti dihantar ke mana-mana pun. Kerana itu, aku dapat bercerita gelagat manusia. Pendek kata, semua rahsia mereka di tangan aku.

Baru semalam aku tinggalkan Putrajaya setelah aku dihantar di mahkamah persekutuan. Gila korang. Sebut nama mahkamah sesiapa pun akan seriau. Ketika aku betul-betul mendarat di meja seorang kerani mahkamah, aku ingatkan ada kisah membawang kes berprofil tinggi,  rupa-rupanya ada kes panas mahkamah. Aku mendengar sebutir demi sebutir disebut kerani itu kepada rakan sebelahnya, “mahkamah memutuskan anak-anak orang Islam dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya.”

Ah, orang Melayu memang pandai cakap berlapik. Kan mudah disebut anak haram. Bila bercerita tentang haram, pengalaman dihantar ke sebuah kondo di ibu kota menceritakan segalanya. Dalam perjalanan ke sana, aku tidak tahan mencium bau getah latex. Aku menjadi mual. Setiba di pintu rumah, seorang wanita bertubuh seksi berumur 30-an menyambut kehadiran. Aku sempat menjeling ke dalam rumah, ada seorang lelaki muda sedang menyedut vape. “Kenapa abang order lagi? Tak guna pakai, Zah dah berisi. Abang kena bertanggungjawab” Glupp. Dialog ini aku pernah dengar. Ini dialog drama Melayu. Boleh pula mereka berbalah tanpa segan silu. Korang selesaikanlah masalah korang. Aku tak masuk campur.

Mungkin nak dijadikan cerita, esoknya aku mendengar kondo sama menjadi tular bila ada serbuan pihak berkuasa. Khabarnya ada parti dadah. Dengarnya juga ada orang kenamaan terlibat. Aku pun tak nak masuk campur.

Oh ya, bila demam membeli-belah dalam talian menjadi sohor kini, akulah paling gembira kerana dapat lagi mengembara. Kerana itu cita-cita sejak azali. Mesti korang tidak percaya, keturunan aku berasal campuran Jerman dan Austria. Dipendekkan cerita, keturunan kami lahir atas permintaan penghantaran uniform menggunakan kereta api zaman dulu kala. Kalau aku petik tahun 1857 mesti korang tak percaya.

Bila sebut uniform, aku teringat minggu lepas aku dihantar ke sebuah butik pakaian terkenal. Aku diarahkan membawa busana dan kostum dengan kuantiti yang banyak. Ketika mendarat di kaunter pertanyaan aku cuba memasang telinga mendengar perbualan juruwang dengan pereka tersebut. “Kostum ini sure meletup. Itu belum campur dengan make up hang, tak percaya tengok televisyen malam ini”.

Esoknya tular di media sosial, sebuah band dikecam warga maya kerana membuat persembahan kontroversi. Ya, inilah busana dan kostum yang aku hantar. Khabarnya, versi penuh klip video pun dipotong di saluran Youtuba.

Youtuba mengingatkan aku tentang promosi penghantaran aku ke serata dunia. Terasa glamer bila tontonan mencecah jutaan mengalahkan klip Di Matamu, Suffian Suhaimi dan Vroom, Vroom Vroom, Nabila Razali. Cuma aku terkilan kerana komen ditutup gara-gara warga maya terlebih pandai menjadi pakar ekonomi, pakar undang-undang, pakar kesihatan, pakar agama. Berjuta-juta komen dicatatkan tetapi paling banyak komen tersasar daripada isu sebenar. Bila tulis mereka mesti kaitkan dengan politik. Aku memang tidak berminat hendak masuk campur.

Tak seperti zaman nenek moyang aku, dunia sekarang semua di hujung jari. Dari Youtuba, Fesbuk, Instagaram, Wasap, Telegaram hingga Ladaza, Sopie hinggalah Pergi Kedai. Dengan pesatnya teknologi melalui aplikasi dalam talian, aku masih boleh mendabik dada kerana peranan mengembara masih lagi menjadi mata pencarian.

Namun, segalanya berubah ketika suatu hari, sebuah kedai atas talian  memperkenalkan aplikasi visibleparcel (v-parcel). Penghantaran barang dipesan pembeli muncul terus kepada penerima melalui mesin ajaib. Ya. bunyi macam pelik tetapi aku pernah diberitahu seorang peminat tegar durian hanya menunggu buah itu muncul di mesin ajaib. Penjual berada di ladang sahaja. Tak perlu syarikat penghantaran. Tak payah guna orang tengah.

Satu lagi kegilaan yang aku dengar, sebuah kedai dalam talian sedang menguji aplikasi ghostparcel (g-parcel) untuk menandingi v-parcel dengan penghantaran barang muncul terus di telefon. Dengan tagline “every parcel is a ghost”, mereka menawarkan penghantaran secara percuma. Bunyi memang tidak logik. Tetapi aku perlu menghadapi semua ini kala teknologi menguasai dunia.

Aku yakin untuk hidup. Meskipun e-mel dan SMS pernah membaham industri surat hingga penghantaran berkurangan tetapi dunia penghantaran tidak akan mati. Ya belum mati. Keturunan aku sudah hidup lebih 160 tahun. Jasa keturunanku banyak membahagiakan warga dunia. Setiap kali aku sampai, akan muncul lirikan di bibir penerima. Paling tak kurang juga ada yang berduka kerana ditipu pembelian dalam talian. Paling sadis penghantaran tasbih buatan China menggantikan telefon pintar.

Sejak pagi tadi penghantaran barang dari China penuh di tempat pengumpulan. Aku sempat mendengar perbualan petugas sebelum dibawa menaiki pesawat ke negara jiran. Katanya barang dari Wuhan masuk ke sini luar daripada kebiasaan. Setibanya di pintu imigresen negara jiran, aku ditahan penguasa kesihatan kerana disyaki pembawa Covid-19. Sesegera itu, pandangan menjadi gelap. Lebih  gelap daripada menghadapi cabaran v-parcel atau g-parcel.

 


Pengarang :