EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor tubuh majlis pengarusperdanaan gender

SHAH ALAM, 10 FEB: Selangor menubuhkan majlis pengarusperdanaan gender bagi mewujudkan keseimbangan dalam pembentukan dasar dan pembangunan negeri, kata EXCO kesihatan, kebajikan dan pemberdayaan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata empat EXCO dipilih sebagai perintis badan tersebut iaitu beliau sendiri diikuti EXCO pembangunan usahawan Rodziah Ismail, EXCO Perumahan Haniza Talha dan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.

“Sekarang tahap penglibatan wanita dalam pelbagai peringkat pentadbiran di Selangor 21.4 peratus, namun kita yakin sasaran 30 peratus akan dicapai dalam tempoh terdekat.

“Kebanyakan wanita di negara ini terperangkap dalam komitmen antara keluarga dan kerjaya sehingga mereka mengambil keputusan berhenti kerja dalam usia muda,” katanya pada Majlis Watikah Pelantikan Kumpulan Tumpuan Gender (GFT) dan Kumpulan Titik Tumpuan Gender (GFP) Pengarusperdanaan Gender di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata agenda memperkasa wanita perlu dipertingkatkan bagi memastikan golongan tersebut berperanan penting dalam pelbagai bidang termasuk sebagai pembuat keputusan.

“Kesaksamaan gender adalah perkara penting dalam pembangunan negara dan perlu ingat kegembiraan atau kebahagian wanita akan mewujudkan sebuah negara lebih baik,” katanya.


Pengarang :