Jalan utama di Pusat Bandar Shah Alam kelihatan lengang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac 2020 sebagai langkah mengekang penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

KP Kesihatan: Duduk di rumah, elak ‘tsunami’ Covid-19

SHAH ALAM, 18 MAC: Ketua pengarah kesihatan meminta orang ramai supaya duduk di rumah dan tidak keluar bagi mengelakkan gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peranan setiap individu penting berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya ada peluang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan virus itu.

Beliau berkata orang ramai perlu mengambil serius terhadap Perintah Kawalan Pergerakan dengan mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

“Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami lebih-lebih jika kita mempunyai sikap ‘tidak kisah’,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan Covid-19.

Sehingga 17 Mac lalu, dua rakyat tempatan disahkan mati akibat virus itu. Daripada keseluruhan 673 kes, 49 daripadanya pulih.


Pengarang :