AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KTMB tawar lebih 900,000 tiket balik raya

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan lebih 900,000 tiket bagi perjalanan seluruh rangkaian perkhidmatannya sempena Aidilfitri, Mei ini.

Ketua Strategik Komunikasinya Ahmad ‘Asri Khalbi berkata penjualan tiket membabitkan perkhidmatan KTM Antarabandar (Intercity) dan kereta api elektrik (ETS) bagi perjalanan antara 1 April hingga 31 Mei, mula dijual Khamis lalu.

Beliau berkata sebanyak 798,368 tiket ditawarkan bagi perkhidmatan ETS membabitkan laluan Gemas, Kuala Lumpur, Ipoh, Padang Besar dan Butterworth manakala 141,032 tiket lagi bagi perjalanan antara Tumpat, Gemas dan Johor Bahru.

“Pembukaan jualan tiket itu dilakukan serentak di semua stesen bagi perjalanan ke pelbagai destinasi di Semenanjung Malaysia pada 5 Mac. Ia juga dibuka lebih awal kerana mengambil kira waktu cuti sekolah yang jatuh pada musim perayaan tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahmad ‘Asri berkata orang ramai boleh mendapatkan tiket lebih awal sama ada di kaunter stesen atau di laman sesawang rasmi KTMB atau aplikasi MobTicket.

Maklumat lanjut dan jadual perkhidmatan tren boleh didapati di www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200.

-BERNAMA


Pengarang :