Paparan skrin menujukkan antara aplikasi media sosial popular yang digunakan oleh rakyat Malaysia. Foto ARKIB SELANGORKINI
SELANGOR

MB: Berhemah guna media sosial, jaga etika komunikasi

SHAH ALAM, 14 MAC: Penjawat awam diingatkan menjaga etika komunikasi di media sosial serta tidak menjadikan medium itu membuat kritikan melulu dan tuduhan palsu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata komen diberikan warga maya perlu dijawab secara berhemah walaupun berdepan bahasa kurang sopan dan tindakan provokasi.

“Imej organisasi hendaklah sentiasa dipelihara, sama-sama kita cerminkan keperibadian dengan asas digariskan agama, sama seperti sabda Nabi Muhammad SAW ‘sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik’,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibaca Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSA 2019 di Setia Alam Convention Centre, di sini, malam tadi.

Turut hadir Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim dan timbalannya, Mohd Rashidi Ruslan.

Amirudin berkata penjawat awam perlu memegang konsep amanah dan integriti bagi membolehkan urusan pentadbiran negara lebih bersih dan efisien.

“Pencapaian negeri serta negara hari ini hasil daripada penggubalan dasar mesra rakyat oleh kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.


Pengarang :