Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 17 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Selangor profesional, sedia kerjasama kawal Covid-19

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutan bagi menangani penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua Ahli Dewan Negeri perlu mengutamakan penyelesaian wabak kerana Selangor merupakan paksi ekonomi dan memiliki 6.4 juta penduduk.

“Saya harap kita bertindak profesional iaitu berhubung dengan mereka (Kerajaan Persekutuan), berkongsi data dan maklumat serta kaedah penyelesaian untuk Covid-19.

“Ini bukan isu politik, isu pertimbangan siapa sokong siapa atau siapa jadi perdana menteri atau menteri besar tetapi ini isu kehidupan masyarakat dan survival rakyat di negeri ini,” katanya dalam ucapan penagguhan sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau turut menyifatkan tahun ini mencabar susulan pelbagai isu, namun berjaya diatasi dengan semangat muafakat bagi memastikan pentadbiran Selangor kekal utuh.

“Daripada keseluruhan konteks titah Tuanku (DYMM Sultan Selangor), baginda menyarankan untuk mengekalkan kestabilan, kemakmuran, politik dan ekonomi kerana ia tunjang penting yang harus menjadi pertimbangan kepada seluruh ahli dewan,” katanya.

Mesyuarat pertama penggal ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor ke-14 yang sepatutnya berlangsung sehingga 27 Mac dipendekkan susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara.


Pengarang :