Tan Sri Muhyiddin Yassin melambaikan tangan sebelum bergerak ke Istana Negara bagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di kediaman peribadinya hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Muhyiddin angkat sumpah perdana menteri ke-8

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada 10.33 pagi.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai Perdana Menteri Interim setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lepas.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Muhyiddin, 72, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan baginda, Muhyiddin kemudian menandatangani dokumen berkenaan.

Ia disaksikan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Antara pemimpin politik yang hadir ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

– BERNAMA


Pengarang :