Keadaan trafik di kawasan projek menaik taraf persimpangan Dengkil-Kajang pada 3 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Penduduk gembira laluan alternatif atasi kesesakan Dengkil-Kajang siap

DENGKIL, 11 MAC: Penduduk di sekitar Dengkil bersyukur isu kesesakan lalu lintas yang berlarutan lebih 10 tahun berakhir selepas laluan alternatif sepanjang 1.7 kilometer siap sepenuhnya.

Laluan tersebut menghubungkan bandar Puchong, Cyberjaya, Putrajaya, Bandar Baru Salak Tinggi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan Selatan Sepang.

Peniaga Shamsuddin Othman, 64, berkata perniagannya terjejas sejak lima tahun lalu disebabkan kesesakan lalu lintas di persimpangan lampu isyarat Dengkil-Kajang.

Shamsuddin Othman

“Kedudukan kedai makan saya strategik kerana terletak berhampiran persimpangan lampu isyarat, namun pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Damansara-Puchong dan Putrajaya-Cyberjaya tidak dibenarkan membelok ke persimpangan Bangi-Dengkil dan Banting Semenyih pada waktu puncak.

“Jika hendak singgah ke kedai saya, pengguna terpaksa membuat pusingan U yang jaraknya hampir dua kilometer,” katanya kepada SelangorKini.

Perkara sama dikongsi pesara tentera Mohd Noor Abdul Ghani, 47, yang menyifatkan pembukaan laluan baharu adalah berita gembira kepada penduduk.

“Pembinaan jejambat merentasi simpang empat melegakan penduduk setempat yang terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas teruk sehingga menjejaskan rutin harian.

Anas As-Said Zaharuddin

“Penduduk terpaksa berkongsi simpang empat dengan pengguna luar yang menjadi laluan utama ke KLIA dan klia2, Bandar Baru Salak Tinggi selain pekan Dengkil dan Banting serta Bangi,” katanya.

Sementara itu, pegawai khas kepada Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Anas As-Said Zaharuddin, 38, berkata pembinaan laluan baharu antara isu yang diperjuangkan wakil rakyat tersebut.

“Malah, ia turut disokong oleh pentadbiran Kerajaan Negeri yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan projek sehingga berjaya siap beberapa bulan awal daripada jangkaan,” katanya.

Laluan tersebut turut meliputi pembinaan jejambat sepanjang 120 meter merentasi persimpangan Dengkil-Kajang, menaik taraf lampu isyarat dan lampu jalan dengan kos keseluruhan RM70.471 juta.


Pengarang :