AGENDANASIONAL

Rakyat digesa waspada kes tipu pengeluaran KWSP

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan mengesan banyak kes menipu rakyat, terutama berhubung pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembelian barang dalam talian, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis telah membuka 393 kertas siasatan melibatkan kerugian RM3 juta dalam tempoh seminggu sejak Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Apabila kerajaan umum boleh buat pengeluaran KWSP, ‘scammers’ ambil kesempatan mengeluarkan tawaran melalui media sosial dan sebagainya, meminta mereka yang ingin keluarkan wang memberi nombor kad pengenalan serta akaun bank.

“Rakyat perlu lebih berhati-hati dan tidak terjebak atau terpedaya, sebaliknya mengikut prosedur betul seperti mendapatkan maklumat tepat dari KWSP atau merujuk sumber sahih,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata sejak PKP dilaksanakan sehingga semalam, polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 114 kertas siasatan penyebaran berita palsu.

“Daripada jumlah itu, semalam sahaja SKMM dan polis telah membuka tujuh kertas siasatan, jadi kerajaan minta semua pihak hentikan penyebaran berita palsu,” katanya.


Pengarang :