PERSONALITIRENCANA

Tokoh ‘wanita pertama’ negara

Wanita terus menuntut peranannya dihargai di negara ini. Walau retorika penyertaan kaum hawa terus kuat berkumandang, pelantikan mereka untuk jawatan utama negara masih jauh di belakang lelaki.

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia setiap 8 Mac, wartawan NAZLI IBRAHIM yang dibantu wartawan pelatih SHIQIN SHUKOR dan MUNIRAH AHAMAD menyingkap kembali sumbangan beberapa tokoh “wanita pertama” dalam bidang utama negara.

Berikut nama-nama gemilang yang menghiasi sejarah tanah air.

Perundangan

Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, 61, berkhidmat dalam bidang kehakiman sejak 38 tahun lalu sebelum dilantik sebagai ketua hakim negara pada Mei 2019.

Beliau satu-satunya panel tiga hakim yang membantah keputusan meneruskan pertuduhan terhadap mendiang Karpal Singh dalam kes Akta Hasutan pada 2016.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat. Foto BERNAMA

Tengku Maimun juga antara tiga hakim yang mengetepikan hukuman mati terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada Ogos 2013.

Menuntut di Universiti Malaya, beliau bermula sebagai pegawai undang-undang pada 1982 sebelum dilantik pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara Oktober 2006 hingga September 2007.

Kemudian Tengku Maimun menjadi hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak 2007 dan Shah Alam empat tahun kemudian. Beliau dilantik hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 sebelum ke Mahkamah Persekutuan mulai Januari 2018.

Tan Sri Ainum Mohd Saaid pula menjadi peguam negara antara Januari hingga Disember 2001 pada usia 54 tahun. Beliau bagaimanapun tidak menghabiskan tempoh pelantikan selama dua tahun.

Beliau berkhidmat selama 26 tahun dari 1970 dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sebelum bersara pilihan pada 1996. Jawatan terakhirnya penggubal undang-undang Parlimen di Jabatan Peguam Negara.

Ainum menyertai Suruhanjaya Sekuriti pada 1996 sebagai pengarah Bahagian Penyeliaan Pasaran tetapi meletak jawatan enam bulan kemudian untuk berkhidmat dalam sektor swasta.

Tan Sri Siti Normah Ya’akub pula wanita pertama menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 1983 dan hakim Mahkamah Rayuan pada 1994 serta hakim Mahkamah Persekutuan pada 2001.

Peguam wanita pertama negara pula adalah Lim Beng Hong atau BH Oon. Mula berkhidmat sejak 1935, beliau pernah menjadi pengerusi Persekutuan Peguam Wanita Antarabangsa.

Politik

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik timbalan perdana menteri, jawatan politik tertinggi yang disandang wanita dalam sejarah negara, mulai Mei 2018. Pentadbiran Pakatan Harapan bagaimanapun hanya bertahan sehingga 24 Febuari lalu.

Ibu kepada enam anak dan sembilan cucu menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh selama 13 tahun (1999-2009 dan 2015-2018) sebelum berpindah ke kerusi Pandan pada 2018.

Sebagai menteri pembangunan wanita, beliau memperkenalkan program i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak Dalam Daftar Kanak Kanak (eDKK), sistem semakan rekod jenayah sebagai panduan ibu bapa.

Wanita pertama yang menyertai kabinet adalah Tun Fatimah Hashim yang diberi tugas menteri kebajikan antara 1969 hingga 1973.

Hannah Yeoh pula wanita pertama menjadi speaker Dewan Negeri Selangor pada 2013, sekali gus individu paling muda menduduki kerusi itu pada usia 34 tahun.

Datuk Rosmee Hamzah pula muncul wanita pertama dilantik setiausaha Dewan Rakyat. Beliau berkhidmat selama 19 tahun sejak 2007 sebelum bersara Februari lalu.

Di peringkat Dewan Negara, jawatan tertinggi yang disandang wanita sehingga timbalan yang dipertua. Datuk Armani Mahiruddin berkhidmat antara 2009 hingga 2011.

Tan Sri Paduka Dr Aishah Ghani pula wanita pertama menjadi senator, antara 1967 hingga 1972. Beliau pernah berkhidmat sebagai guru agama dan wartawan.

Penguatkuasaan

Latheefa Beebi Koya dilantik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mulai Jun tahun lalu. Januari lepas, beliau menarik perhatian umum apabila mendedahkan rakaman audio perbualan telefon antara Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Rakaman itu antara sembilan klip yang dianggap konspirasi pecah amanah, salah guna kuasa dan pemalsuan bahan bukti dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad.

Menamatkan pengajian di Universiti London pada 1997, Latheefa aktif dalam kes berkepentingan awam dan lantang memperjuang hak asasi manusia.

Datuk Robiah Abdul Ghani pula wanita pertama menjadi pesuruhjaya polis. Beliau mengetuai kontinjen Pahang mulai 2008. Beliau mencurah bakti selama 49 tahun dalam bidang kepolisan sejak 1971.

Normah Ishak pula pegawai polis wanita pertama dilantik ketua penolong pengarah Bahagian Counter Terrorism berkuat kuasa Mac ini.

Perekonomian

Tan Sri Dr Ungku Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz dinobatkan sebagai antara gabenor bank pusat terbaik pada 2009. Selain itu, majalah Global Finance memberi gred A sebanyak 11 kali berturut-turut kepadanya.

ibu dua anak ini juga menerima anugerah diraja pada 2018 untuk inisiatif kewangan Islam Malaysia berikutan kepimpinannya diakui hingga ke peringkat dunia.

Anak tunggal tokoh terkenal Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan tokoh budayawan Sharifah Azah Aziz, Zeti dilantik sebagai gabenor Bank Negara Malaysia yang ketujuh antara 2000 hingga 2016.

Tan Sri Zarinah Anwar pula wanita pertama memegang jawatan pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia selama enam tahun mulai 2006. Sebelum itu, beliau adalah timbalan ketua eksekutif suruhanjaya berkenaan mulai 2001.

Sukan

Pandalela Rinong, anak kelahiran Kuching, Sarawak menjadi wanita Malaysia pertama menang pingat dalam Sukan Olimpik di London pada 2012 dalam acara 10 meter platform. Beliau juga pembawa bendera dalam temasya itu.

Gandingannya bersama Cheong Jun Hoong pula berjaya meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik di Rio, Brazil. Menceburi acara terjun papan anjal sejak usia lapan tahun, Pandalela menerima anugerah Olahragawati Negara pada 2011, 2012 dan 2015.

Pelari pecut 100 meter Annie Choong merupakan wanita pertama bertanding ke peringkat Olimpik di Melbourne pada 1956. Dilahirkan pada 20 Februari 1934, beliau mencatat masa terbaik 12.5 saat ketika mewakili negara dalam kejohanan tersebut.


Pengarang :